CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, February 25, 2011

"ROTAN" VS ARAK DAN DADAH


Kerajaan telah sejak sekian tahun membelanjakan berjuta-juta ringgit dalam usaha untuk memulihkan mereka yang menagih dadah. Namun usaha ini nampaknya tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda positif bahawa penagih-penagih dadah yang menjalani rawatan pemulihan di pusat-pusat serenti akan pulih kesemuanya. Malah peratusan yang kembali menagih dadah selepas tamat tempoh pemulihan adalah amat menggusarkan.

Apa yang pasti ramai penagih dadah yang ingin keluar daripada belenggu ketagihan dadah, namun ketahanan fizikal dan rohani mereka serta persepsi masyarakat membuatkan mereka kembali menagih dadah untuk mencari ketenangan yang sementara.

Bayangkan perbelanjaan untuk merawat seorang penagih dadah adalah lebih daripada perbelanjaan untuk membiayai seorang graduan di menara gading, sedangkan graduan yang menuntut di menara gading tidak boleh tidak terpaksa membayar kembali pinjaman pelajaran yang digunakan. Alangkah ruginya sumber tenaga manusia negara dan sumber kewangan negara begitu sahaja umpama mencurah air ke padang pasir yang kering dan tandus.

Apakah pendekatan pemulihan di pusat-pusat serenti ini harus diteruskan atau perlu ada kajian serta penyelidikan untuk mencari alternatif dalam rawatan penagihan dadah ini?
Berita yang tersiar di merata dunia pada penghujung Mac 2005 dimana para saintis Russia mendakwa bahawa merotan pada punggung boleh mengubati pesakit yang ketagihan dadah dan arak serta yang mengalami tekanan jiwa yang boleh membawa kepada kejadian bunuh diri. Menurut para penyelidik di Novosibirsk, dengan merotan ianya mengakibatkan hormon "endorphins" terbentuk, iaitu sejenis hormon semulajadi yang menghasilkan rasa gembira dan meingkatkan respons terhadap imuniti dan menghalang rasa ketagihan dadah dan arak. Dr Sergei Speransky menyatakan rawatan merotan ini amat berkesan. Para saintis seterusnya menyarankan bahawa rawatan merotan ini ialah antara 30 ke 60 sesi rawatan merotan.


            Dr Marina Chuhrova pula menyatakan bahawa beliau mempunyai pesakit tetap seramai 10 orang yang memerlukan rawatan merotan ini. Menurut beliau pada mulanya mereka tidak suka pada kaedah rawatan sedemikian, akan tetapi apabila mereka merasakan kebaikannya mereka mula gemar pada kaedah rawatan sebegini. Malah para penagih-penagih dadah dan arak tadi sanggup pula untuk membayar sekitar RM 400 untuk satu sesi rawatan merotan.
Kaedah merotan ini bukanlah satu kaedah yang baru, ianya dikesan telah diamalkan lebih 1400 tahun yang lalu. Kaedah ini bertepatan dengan apa yang telah digariskan oleh Islam, berdasarkan sebuah hadis:

Dari al-Husain bin al-Mundzir bahawa Ali r.a. pernah merotan Walid bin Uqbah 40 kali kerana telah meminum arak. Kemudian dia berkata: “Nabi s.a.w. pernah merotan (peminum arak) 40 kali, Abu Bakar r.a. 40 kali, Umar r.a. 80 kali, dan kesemuanya itu adalah sunnah, namun ini yang paling aku sukai.”
[Hadis Riwayat Muslim]

Hukuman merotan dalam Islam bukanlah satu hukuman yang kejam dan ganas jika dibandingkan dengan hukuman rotan yang dijalankan di penjara Malaysia sekarang di mana para pesalah yang dikenakan hukuman rotan ini boleh pengsan serta tersiat kulit mereka hanya dengan satu rotan. Hukuman rotan dalam Islam adalah lebih kepada pengajaran, dan teknik merotan tersebut tidak boleh mengangkat bahu, hanya setakat mengangkat lengan umpama jika dikepit buku pada bahu, buku tersebut tidak boleh jatuh ketika merotan.

Apakah masalah penagihan dadah serta ketagihan arak terutamanya dari kalangan orang Melayu yang beragama Islam ini tidak dapat diselesaikan adalah balasan Allah s.w.t. apabila orang Islam sendiri mengabaikan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam itu sendiri? Sedangkan rotan begitu mudah didapati di Malaysia pada hari ini, dan harganya adalah jauh lebih murah jika dibandingkan dengan metadon dan lain-lain lagi ubat-ubatan moden
.
Tepuk dada, tanyalah Iman, itu jawapannya.

0 comments: